Turki Dan Kurdish, Apabila Amerika Syarikat Mula Angkat Kaki



Turki sudah melancarkan Operasi Peace Spring bermula 9 Oktober lalu dan operasi ni menyasarkan pengganas Kurdish di sempadan Turki-Syria. Pengganas yang menjadi mimpi buruk Turki kali ni tak lain tak bukan ialah Syrian Democratic Force (SDF).

Sebelum ni, Presiden Turki dah menyuarakan keinginan untuk mewujudkan zon keselamatan seluas 30-50 km di sempadan Turki-Syria pada Persidangan Agung PBB ke-74 pada September lepas. Turki rancang mahu menempatkan kira-kira 3 juta pelarian Syria di zon keselamatan itu.

Awalnya, AS dan Turki dah bersetuju nak buat zon keselamatan ni sejak Ogos lepas. Memang tak nampak isu pun. Ada yang tengok penglibatan AS dalam zon keselamatan ni untuk melindungi sekutu dia, pengganas Kurdish. Yang jadi isu adalah bila Presiden Trump telah menarik diri daripada terlibat dalam 'zon keselamatan' ni. Ini sudah lain macam.

SDF adalah sebuah organisasi yang disokong AS. Sebab tu, SDF ada imej yang ofensif di Turki. Bukan sahaja ia adalah pengganas Kurdish, tapi ia pun disokong oleh AS. Israel pun menyokong SDF dan kewujudan negara Kurdish, dengan tujuan memecah-belahkan negara-negara Asia Barat.



Turki dah berkali-kali menyatakan SDF turut didalangi YPG dan Parti PKK Kurdish yang selalu melancarkan serangan di Turki. SDF pun mampu menggugat kestabilan di sempadan Turki-Syria.

Isu Kurdish ni yang menjadi titik perselisihan utama antara Turki dan AS. Pada Turki, Kurd digunakan oleh AS untuk mengganggu-gugat kestabilan Turki. Pada AS, Kurd sepatutnya dibela akibat penindasan berdasarkan sejarah silam.

Tindakan Trump takdelah mengejutkan sangat, memandangkan dia punya pandangan berbeza mengenai keterlibatan Amerika Syarikat dalam krisis negara-negara Asia Barat - lagi-lagi Syria. Dia melihat campurtangan AS dalam krisis Syria hanya merugikan AS jugak akhirnya.

Sebab itulah, Trump pun menyalahkan Presiden sebelum ini (Barack Obama) yang bersekutu dengan PKK sebelum ini. Dia siap buat kenyataan; "Kesilapan terbesar yang pernah dibuat AS, pada pandangan saya adalah masuk campur dengan krisis di Timur Tengah"/'The worst mistake that the United States has ever made in my opinion was going into Middle East'. Pada Trump, AS tak perlu pun campur tangan dalam masalah negara luar.

Trump pun ada beri amaran kepada Turki supaya tidak buat buat pembersihan etnik beramai-ramai kat orang Kurdish, sebab hubungan keruh antara dua pihak ni. Kalau Turki melanggar batas, AS akan hancurkan ekonomi Turki.

Turki membalas kenyataan AS yang dia akan sasarkan pengganas Kurdish sahaja, bukan kesemua orang Kurdish memandangkan majoriti orang Kurdish adalah orang Islam juga. Ini kata Turki lah.

Kat AS pun, diorang tengah kutuk Trump sekarang ni. Ada yang kata orang Kurd sepatutnya dibela dan dibantu selepas berdekad-dekad lamanya ditindas, ada yang kata dah tiba masanya AS menarik diri daripada campur tangan dalam negara orang.

Melihat kepada dominasi SDF di utara dan timur Syria, Turki terpaksa melancarkan Operasi Peace Spring atas nama kestabilan negara. Hubungan Kurdish dan Turki memang sudah lama buruk, operasi ni bukanlah titik noktah kepada perseteruan mereka yang telah bersulamkan sejarah lampau.

Turki mara ke 'zon keselamatan' dia tanpa apa-apa halangan, hatta dari AS sekalipun. Nampak gaya, pengganas Kurdish akan bertempur tanpa perlindungan AS. Soalnya, adakah Operasi Peace Spring ni bakal mencetuskan krisis kemanusiaan atau sekadar memenuhi keperluan Turki? Hanya masa bakal menentukan.

Sumber:

1. Astro Awani [2019], Tentera Turki mara ke utara Syria,
http://www.astroawani.com/berita-dunia/tentera-turki-mara-ke-utara-syria-219684

2. Reuters [2019], Turkish forces push deeper into northeast Syria - ministry,
https://www.reuters.com/article/syria-security-turkey-usa/turkish-forces-push-deeper-into-northeast-syria-ministry-idUSL5N26V0IK

3. Reuters [2019], Turkey launches operation into northeast Syria: Erdogan,
https://www.reuters.com/article/us-syria-security-turkey-erdogan/turkey-launches-operation-into-northeast-syria-erdogan-idUSKBN1WO1MS


Al-Badru

Pelajar Sarjana Muda dari UiTM ini membangunkan sebuah platform untuk menyampaikan ilmu iaitu LamAlifBa. Seorang Melayu yang tidak segan akan asalnya. Realis pula pandang alamnya

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama