Semikonduktor: Impian China, Choke Point dan Globalisasi

 


 

The Chinese Dream is a desire for happiness, similar to the dreams of the people of other countries.”

 

Pada sidang Kongres Parti Komunis China (CPC) ke-19 iaitu tahun 2017, Xi Jinping Thought on Socialism with Chinese Characteristics for a New Era telah dimaktubkan dalam perlembagaan parti itu. Bukan sahaja Xi Jinping memastikan kelangsungan penggal keduanya sebagai Setiausaha Agung parti, fahaman ini menjadi lambing signifikan kepada Xi pada era genting iaitu fasa peralihan China menuju tahap adikuasa global (global superpower). (Peters, 2017)

 

Beliau mahu menyemarakkan lagi slogan Chinese Dream [国梦].

 

Sejak pertama kali dilontarkan pada tahun 2012, Chinese Dream ini dilihat sebagai usaha pemulihan nasional China dan menuju status kuasa besar. Pada mata ahli usahawan, ia dilihat sebagai ikrar reformasi ekonomi. Pada mata orang asing, ia dianggap sebagai langkah reformasi politik oleh Xi.

 



Hari ini China cukup cemerlang dalam ekonomi digitalnya. Mereka memiliki syarikat tech gergasi yang lahir di tanah air mereka. Huawei, JD.com, China Mobile, Alibaba dan Tencent sebagai misalan. Mereka jugalah yang berjaya menjinakkan taring syarikat gergasi luar seperti Google dan Facebook (Meta) lalu digantikan dengan Tencent dan Baidu. Firma tech hanya dibenarkan jejak masuk apabila mereka bersetuju dengan usaha penapisan (censorship). Sama ada ikut, atau boleh pergi balik angkut.

 

Sudah, kenapa Xi risau dengan sekuriti digital? Sedangkan mereka berjaya menundukkan internet?

 

Dunia digital China sangat bergantung pada semikonduktor yang diimport. Pusat data China dipenuhi dengan cip semikondukter keluaran AS. Meskipun Beijing dapat meniru pengkhususan Lembah Silikon (Silicon Valley) dalam enjin carian, e-dagang, dan pembayaran digital; ini semua bergantung pada hardware buatan luar. Xi melihat kebergantungan terhadap rantaian bekalan hardware luar sebagai ancaman.  

 

Paranoid pemimpin China ini hanya mampu dimalapkan apabila mereka berjaya menghasilkan “teknologi teras“ (core technology); iaitu produk teras kehidupan manusia. Mudahnya, ia adalah semikonduktor.

 

Pertumbuhan syarikat gergasi tech China – penerokaan dalam pengkomputeran awan (cloud computing), autonomous driving, kecerdasan buatan (artificial intelligence) – bermaksud pemintaan terhadap semikonduktor ikut naik. Kerajaan China langsung mengeluarkan rancangan Made in China 2025. Wawasan ini menganggarkan pengurangan kebergantungan China terhadap cip import daripada 85% (2015) kepada 30% (2025).

 

Rancangan subsidi China pada awal 2000-an gagal membangunkan industri cip canggih. Pantang menyerah kalah di tengah jalan. Big Fund pun dilancarkan oleh kerajaan pada tahun 2014. Rancangan ini untuk melipatgandakan subsidi ke dalam industri cip. ‘Pelabur’ utamanya termasuklah Kementerian Kewangan China, China Bank Development, firma milik kerajaan (seperti China Tobacco), dan investment vehicle oleh majlis perbandaran di Beijing, Shanghai dan Wuhan.

 

Rancangan Made in China 2025 tidak menyeru kepada integrasi industri semikonduktor China dan global. Tapi ia cuma fokus pada kemandirian China daripada cip import. Wawasan ekonomi China ini memberi ancaman kepada kautan keuntungan syarikat Lembah Silikon. Ia juga menjejaskan revenue negara berorientasikan eksport. Aktiviti eksport IC (integrated circuits) pada 2017 mewakili 15% untuk eksport Korea Selatan, 17% untuk Singapura, 19% untuk Malaysia, 21% untuk Filipina dan 36% untuk Taiwan.

 

China juga melaksanakan pemindahan teknologi menerusi partnership. Contohnya IBM telah membuka teknologi cip mereka kepada rakan kongsi China mereka. Pada IBM, tindakan ini masuk akal kerana mereka dapat mengubah tumpuan bisnes global mereka daripada menjual hardware kepada servis. Tapi pada China, urusan partnership bukan pasal bisnes semata-mata. Akses ke atas teknologi ini selari dengan rancangan semikonduktor China dan kepentingan nasional mereka juga.

 

Pemindahan teknologi juga dibuat menerusi joint venture (JV), M&A (mergers & acquisition). Qualcomm, Arm, Intel dan AMD adalah bukti hidupnya.

 


Kebangkitan gergasi tech China telah mencetuskan kegusaran dalam birokrat AS. Mereka menumpukan fokus kepada firma ini – Huawei. Pengkritik menuding jadi curian harta intelek (intellectual property) sebagai rahsia pertumbuhan drastik Huawei. Kritikan ini berdasarkan pengakuan Huawei pada tahun 2003 bahawa 2% kod router mereka adalah dari Cisco (AS). Namun, resipi kebangkitan Huawei sebenarnya lebih daripada sekadar itu.

 

Huawei telah berbelanja besar dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) sekitar $15 bilion setahun. Figura ini setanding dengan bajet tahunan pesaing gergasi luar seperti Google, Amazon dan Volkswagen. Bajet tahunan R&D Huawei jauh meninggalkan pesaing China lain. Tidak hairanlah Huawei dapat membangunkan proses pembuatan efisien, merendahkan kos dan menyediakan produk berkualiti tinggi. Adunan etos ketenteraan wajar diberi kredit akan produktiviti luar biasa di Huawei.

 

Berkembangnya Huawei menyuntik keresahan agensi perisik AS. Pada mereka, Huawei bekerja selari dengan kepentingan nasional China. Kemunculan Huawei juga mengakibatkan pesaing mereka gulung tikar atau berpecah. Nortel (Kanada) bungkus. Alcatel-Lucent menjual operasinya kepada Nokia (Finland). Mereka juga tidak ketinggalan dalam pasaran telefon pintar. Pada 2019, Huawei termasuk dalam jenama terlaris dunia di belakang Apple dan Samsung.

 

Huawei berjaya meniru gaya pesaing Korea (Samsung) dan Jepun (Sony) mereka berdekad dulu; iaitu belajar membangunkan teknologi canggih, memasuki pasaran global, berbelanja besar di R&D, lalu mencabar pesaing tech AS secara berdepan.

 

 Choke point dan Globalisasi

 

Tanpa perdagangan semikonduktor dan produk elektronik, kita tidak akan mampu kecapi globalisasi seperti hari ini. Keunggulan ketenteraan AS berakar teguh dalam penggunaan cip atas tujuan ketenteraan mereka. Kebangkitan ekonomi rantau Asia lebih separuh abad ini sangat berkait rapat dengan silikon – fabricate cip, pemasangan komputer, telefon pintar dan IC.

 



Sebahagian besar GDP antarabangsa dijana oleh peranti yang dikuasai oleh cip. Sebagai produk yang masih belum wujud seabad lalu, ia adalah pencapaian menakjubkan dalam sejarah ketamadunan manusia.

 

Pada hari ini rantaian bekalan semikonduktor menghubungi banyak negara. Namun cip-cip ini tetap terhubung dengan Lembah Silikon (Silicon Valley). Lembah ini begitu subur dengan firma VC (venture capital), kepakaran saintifik R&D berserta saiz pasaran domestik yang sedia besar. Integrasi mendalam rantai bekalan dengan Lembah Silikon itu bersambung langsung ke Eropah dan Asia.

 


Eropah memiliki kepakaran semikonduktor, terutamanya pembuatan mesin untuk mengeluarkan dan mereka seni bina cip. Sebagai contoh, ASML (Belanda) menguasai 100% pembinaan extreme ultraviolet lithography machines (EUVL); iaitu peralatan kritikal untuk menghasilkan cip canggih. Peratus dominasi ASML sungguh besar. Jika nak dibandingkan dengan OPEC, mereka hanya menguasai 40% pengeluaran minyak antarabangsa sahaja.

 

Asia juga tidak ketinggalan untuk mengejar masuk ke dalam industri cip. Kerajaan Taiwan, Jepun dan Korea Selatan menyokong industri cip dengan pemberian subsidi kepada syarikat, pembiayaan program latihan, merendahkan kadar tukaran matawang, serta meletakkan tarif pada cip import. Syarikat turut melakukan partnership dengan Lembah Silikon demi peralatan, perisian dan pelanggan. Cip Taiwan menawarkan 37% kuasa pengkomputeran setiap tahun, manakala Korea Selatan menghasilkan 44% cip memori global.

 

AS pula kekal unggul dengan capaian rantaian bekalan yang menjangkaui seluruh gunia. Jika dilihat pada hari ini, hampir semua keluaran cip global menggunakan perisian daripada 3 syarikat ini – Cadence, Synopsys dan Mentor. Ketiga-tiga syarikat ini beroperasi di AS.

 

Gangguan pada proses pengeluaran semikonduktor memberi alamat buruk kepada kuasa pengkomputeran dunia. Kita sering dengar, data adalah ‘the new oil‘ di ambang era AI ini. Walhal, cabaran yang kita hadapi bukanlah keberadaan data namun kuasa pemprosesan itu. Dengan keterhadan bekalan semikonduktor untuk menyimpan dan memproses data, ia telah melonjakkan kos pembuatan cip.

 



Integrasi kompleks rantaian bekalan semikonduktor ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh ahli strategi dasar luar AS – untuk mengekalkan dominasi AS. Kepesatan pengeluaran cip canggih di Taiwan, Korea Selatan dan wilayah lain di Asia bukanlah suatu kebetulan. Washington berjaya menguasai choke points dalam perdagangan semikonduktor. Mereka juga mengawal proses pembuatan cip termasuklah aspek peralatan, bahan dan perisian.

 

Perdagangan dan aliran modal ada peluang untuk digunakan sebagai senjata politik. Motif politik AS padanya merencatkan keharmonian tatanan globalisasi.

 

Keterajuan teknologi AS dalam fabrication, lithography dan bidang teknologi lain seperti panel solar gagal bertahan lama. AS melihat kerajaan perlu menyediakan padang sama rata kepada persaingan antara syarikat iaitu sistem laissez-faire. Sedangkan di Asia, kerajaan mereka memberi sokongan secara terus. Akhirnya superiority tech AS semakin menyusut. (Miller, 2022)

 

Semasa Washington dan elit Lembah Silikon dikaburi terma globalisasi, multilateralisme dan inovasi, birokrat sekuriti AS sudah pun cemas akan kebangkitan deras gergasi tech China. Mereka memang digajikan untuk bersikap paranoid untuk peka akan sebarang potensi ancaman.

 

ZTE dan Huawei sudah pun berpengalaman disenaraihitam oleh pentadbiran AS terdahulu. Tekad Beijing memberi subsidi besar kepada gergasi tech tempatan merisaukan pesaing tech lain. Memandangkan firma China ini sangat bergantung pada sokongan Beijing, birokrat sekuriti luar pastinya curiga dengan objektif utama syarikat.

 

Capaian meluas AS dalam rantaian bekalan semikonduktor memaksa China untuk kurangkan kebergantungan pada cip luar. Sebagai sebuah negara baru membangun relatif kepada Barat, China masih ketinggalan dalam banyak aspek termasuklah mesin, perisian, malah technological independence semikonduktor.

 

Usaha R&D ini mengambil masa lama. Misalnya, mesin EUVL oleh ASML mengambil masa lebih 3 dekad untuk dibangunkan dan memasuki fasa komersial. China kesuntukan masa untuk mengejar kepakaran cip setanding dengan pesaing luar mereka.

 



Keterdesakan China ini diterjemahkan ke dalam ketegangan hubungan Beijing-Taipei.

 

Taiwan mengeluarkan 11% cip memori global. Ia menempatkan 37% cip logik dunia. Taiwan Semiconductor Manifacturing Company (TSMC) mempunyai kepakaran fabrication dengan ketepatan tertinggi. Industri cip Taiwan menyediakan perlindungan (silicon shield) untuk melindunginya daripada keganasan rejim authoritarian Beijing. Semua syarikat yang melabur di belah Taiwan – dari Apple ke Huawei - kesemuanya bet keamanan.

 

Strategi China menceroboh Taiwan lalu menghapuskan TSMC adalah tidak masuk akal. Chinalah pihak paling rugi dalam cubaan itu. Sekiranya China berjaya merampas TSMC sekalipun, China berdepan kesukaran untuk memastikan firma MNC itu kekal beroperasi. Sedangkan, fasiliti TSMC perlu dibeli melalui rantaian bekalan semikonduktor. Negara-negara sekutu AS. Para jurutera TSMC juga berpotensi mensabotaj rejim autoritarian Beijing ketika itu.

 

Ancaman keganasan di Selat Taiwan sentiasa wujud. Namun ganjaran serangan ke atas Taiwan sangat tidak berbaloi. Kos kerugian juga boleh mencatat trilion dolar. Kehilangan pengeluaran 37% cip untuk kuasa pemprosesan merencatkan progres teknologi kita.

 

Jalan penyatuan Beijing-Taipei tidak pernah mudah, dahulu dan kini.

 

Pembangunan teknologi sentiasa berkait rapat dengan politik sejak ketamadunan dahulu. Selain keunggulan ketenteraan, keunggulan teknologi juga dipacu oleh objektif sesebuah negara. Semikonduktor bukan sekadar teras kepada persaingan yang kita saksikan saat ini. Ia adalah senjata maut yang bakal mencorak dekad mendatang.

 

Mampukah globalisasi dan Impian China berjalan seiring kelak?


RUJUKAN:

 

Miller, C. (2022). Chip War The Fight For The World’s Most Critical Technology.

Peters, M. A. (2017). The Chinese Dream: Xi Jinping thought on Socialism with Chinese characteristics for a new era. Educational Philosophy and Theory, 49(14), 1299–1304. https://doi.org/10.1080/00131857.2017.1407578

 

 

Al-Badru

Pelajar Sarjana Muda dari UiTM ini membangunkan sebuah platform untuk menyampaikan ilmu iaitu LamAlifBa. Seorang Melayu yang tidak segan akan asalnya. Realis pula pandang alamnya

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama