Dunia ini bersifat anarki. Jadi, adakala peperangan memang tak dapat dielakkan. Perang Dunia Kedua (1939-1945) adalah peperangan yang paling dahsyat dalam sejarah manusia. Dalam peperangan ini, berlaku sebuah peristiwa yang menjadi polemik tempatan dan antarabangsa. Antara isu yang panas tentang peperangan yang selalu dibangkitkan adalah isu wanita pengibur (baca: isu comfort women) yang masih dibangkitkan sehingga ke hari ini.
Wanita hiburan/comfort women adalah satu ungkapan merujuk kepada wanita-wanita yang 'menyediakan' perkhidmatan seksual kepada tentera empayar Jepun semasa zaman penjajahan Jepun di era Perang Dunia Kedua. Wanita-wanita ini dianggarkan lebih dari 200, 000 dan dijadikan 'hamba seks' kepada para tentera tersebut. Majoriti daripada mereka terdiri dari Korea, China, Taiwan dan kawasan Asia lain termasuklah Jepun sendiri.
Wanita-wanita ini ditempatkan di rumah keselesaan (baca: rumah pelacuran) di kawasan tertentu untuk 'meningkatkan' moral tentera Jepun dan mengurangkan gangguan seksual. Kebiasaannya, wanita-wanita ini hidup dalam persekitaran yang teruk; mereka menjadi mangsa rogol dan dipikul atau dibunuh jika melawan. Ini 'indah khabar dari rupa' sungguh. Rumah pertama yang dibuka ialah pada tahun 1932 di Shanghai, China.
Awalnya, para pelacur dari Jepun menawarkan diri secara sukarela atas alasan demi negara. Masalah berlaku apabila kawasan jajahan Empayar Jepun ini mula merebak luas sejauh Asia Tenggara. Maka, berlaku lah kekurangan wanita di rumah-rumah ini. Banyak wanita diperlukan untuk mengisi rumah keselesaan ini.
Ada wanita yang ditipu dengan iklan pekerjaan palsu, malah ada yang diculik. Sangkaan mereka bahawa mereka akan bekerja sebagai jururawat dan pekerja kilang meleset jauh. Iklan-iklan ini bukan sahaja disebarkan di Jepun, malah ia turut disebarkan di China, Korea dan Taiwan. Pihak Jepun juga tidak teragak-agak bekerjasama dengan warga tempatan untuk meculik mana-mana wanita demi kepuasan nafsu serakah tentera mereka.
Namun begitu, Kementerian Luar Jepun mula menghentikan pengeluaran visa kepada pelacur-pelacur Jepun atas alasan 'memburukkan nama empayar'. Ironi sungguh. Pihak Jepun semakin 'terdesak' untuk mengambil wanita-wanita tempatan demi 'kepentingan' tentera mereka. Semakin ramai wanita tempatan diculik dan ditipu demi kepentingan Jepun sendiri.
Pada era selepas Perang Dunia Kedua berakhir, apa yang jadi kepada mangsa-mangsa wanita penghibur ini? Adakah mereka dibiarkan hidup dengan penuh trauma yang tersemat di hati mereka? Adakah isu ini sudah selesai? Sudah tentu tidak!
Antara negara yang vokal mengkritik Jepun mengenai isu wanita penghibur ini adalah Korea Selatan. Misalnya, Speaker Dewan Perhimpunan Korea Selatan Moon Hee-sang membuat kenyataan bahawa permohonan maaf daripada Maharaja Akihito dapat menyelesaikan isu wanita penghibur ini. Tokyo menuntut agar kenyataan tersebut ditarik balik. Ianya ibarat meminta permohonan maaf SPB YDP Agong atas kesalahan lalu! Reaksi Tokyo memang boleh dijangka pun.
Mahkamah Tinggi Korea Selatan turut memerintahkan kepada syarikat-syarikat Jepun untuk membayar pampasan untuk buruh paksa ketika Perang Dunia Kedua berlangsung, walaupun Jepun sudah bertegas bahawa perjanjian 1965 sudah menyelesaikan isu ini. Syarikat Jepun seperti Mitsubishi dan Nippon Steel & Sumitomo Metal Corp diarah membayar pampasan kepada mangsa buruh paksa ketika era Perang Dunia Kedua itu.
Sudah terang lagi bersuluh bahawa rakyat Korea Selatan masih tidak melupakan kelakuan kejam empayar Jepun dahulu kepada rakyat Korea.
Apa yang menarik untuk dijadikan penambah perisa untuk artikel kali ini adalah sistem perhambaan tentera yang diamalkan pada era empayar Jepun dahulu berakar dari ketidaksamaan jantina yang mendalam di Jepun. Bukan itu sahaja, diskriminasi Jepun tehadap negara-negara jiran juga meninggalkan kesan kepada masyarakat Jepun hari ini.
Status wanita Jepun sememangnya sudah bertambah baik daripada sebelum ini, tetapi perjalanan mereka masih jauh sebenarnya. Forum Ekonomi Dunia (World Economic Forum) telah meletakkan Jepun di tangga ke-114 daripada 144 buah negara dalam isu kesaksamaan jantina. Wanita Jepun juga kerap mengalami gangguan seksual dan diskriminasi dalam kehidupan seharian mereka. Malangnya ia tidak dihebohkan oleh media massa utama. Kajian terbaharu yang dilakukan oleh Universiti Antarabangsa Osaka menyatakan bahawa terdapat lebih 150 kes gangguan seksual yang dialami oleh wanita Jepun yang bekerja di sektor kerajaan mahupun swasta.
Tidak pelik lah kalau tengok jumlah wanita yang berkecimpung dalam sektor berkenaan adalah sangat sedikit jika dibandingan dengan negara-negara lain.
Ini bukan sebuah cerekarama yang direka-reka oleh para sejarawan. Ini adalah sejarah hitam dalam lipatan sejarah manusia. Ratusan ribu wanita yang menjadi mangsa dan maruah mereka dirobek begitu sahaja. Isu ini sepatutnya diberi perhatian oleh semua pihak termasuklah Malaysia sendiri kerana sebahagian wanita penghibur juga berasal dari sini. Sejarah ini bakal berulang sekali lagi jika kita tidak mengambil serius akan hal ini. Sejarah manusia masih belum dinatijahkan dan ia masih berjalan,
Persoalan yang perlu dijawab oleh generasi akan datang adalah; apakah cara yang berkesan untuk mengelakkan sejarah hitam ini berulang lagi bagi memastikan ianya tidak berlaku kepada orang-orang yang kita kasihi?
Wallahualam.
Sumber :
1. The Diplomat, Why the 'Comfort Woman' Issue Still Matters, 70 Years Later,
https://thediplomat.com/2018/06/why-the-comfort-women-issue-still-matters-70-years-later/
2. The Japan Times, Japan protest South Korean Foreign Minister's remark at U.N. that 'comfort women' issue not settled, https://www.japantimes.co.jp/news/2019/02/26/national/politics-diplomacy/japan-protests-south-korean-foreign-ministers-remark-u-n-comfort-women-issue-not-settled/#.XKW1ulUzbIU
3. Encyclopedia Britannica, comfort women, https://www.britannica.com/topic/comfort-women
4. Moustapha Abbas (2017), Sejarah dan Polemik 'Comfort Women', https://www.thepatriots.asia/sejarah-dan-polemik-comfort-women/
5. Berita Harian (2018), Ribuan bekas buruh paksa saman kerajaan Korea Selatan,
https://www.bharian.com.my/dunia/asia/2018/12/511402/ribuan-bekas-buruh-paksa-saman-kerajaan-korea-selatan
6. Berita MediaCorp(2018), Korea Selatan arah syarikat Jepun bayar ganti rugi kepada buruh paksa era Perang Dunia Kedua, https://berita.mediacorp.sg/mobilem/dunia/korea-selatan-arah-syarikat-jepun-bayar-ganti-rugi-kepada-buruh/4191894.html