Negara, Bangsa & "Negara Bangsa" : Sebuah Terma


Kalau tengok dengan jelas di peta dunia, boleh juling mata kita nak kira berapa banyak negara yang wujud sekarang. Boleh semak data dari Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), terdapat 195 negara yang menjadi ahli PBB[1]. Kalau tengok peta kat atas tu pun ramai tertanya-tanya jugak lah, macam mana boleh ada banyak negara ni? Dan yang paling penting, apa itu negara, bangsa dan "negara bangsa"? Tanpa terma-terma kompleks ni kau nak isi apa kat peta tu, tak gitu?

Negara haruslah mempunyai:
1) Penduduk
2) Wilayah (Sempadan)
3) Kerajaan
4) Kedaulatan

Bangsa adalah:
1) Kumpulan besar yang ahlinya terikat atas asas perkongsian identiti sebagai satu kumpulan manusia atau masyarakat yang terikat dengan persamaan sejarah, budaya.

Negara-bangsa boleh diterjemahkan sebagai:
1) Negara berdaulat yang didiami satu bangsa (Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka)
2) A political entity (sovereign state) that governs a cultural identity (nation) by successfully serving all its citizen.

Kalau nak tahu secara jelas, nak tak nak kena semak sejarah semula.[2] Barulah kita boleh faham jalan cerita dia sebenarnya. Senang lah nak faham.

Al kisah nya berbunyi begini....

Idea 'negara bangsa' dapat dijejak sejak Perjanjian Westphalia (1648), menandakan berakhirnya Perang 80 Tahun antara Sepanyol dan Belanda dan Perang 30 Tahun; perang agama antara penganut Kristian bermazhab Katolik dan Protestan [3]. Perjanjian Westphalia telah menekankan soal kedaulatan a.k.a. sovereignity bagi pembinaan sebuah negara bangsa yang digunapakai oleh hampir kesemua 195 negara di dunia ni[4]. Kalau nak bincang bab kedaulatan, tak cukup tangan nak terangkan ni. Itu lain kali lah.

Idea negara bangsa ni berkembang pesat dek kerana media massa dan kadar literasi yang baik ketika itu. Ciptaan mesin cetak banyak membantu dalam menyebarkan idea ni seluruh dunia.

Konsep "negara bangsa" menjadi piawai ideal di Perancis sejak Revolusi Perancis berlaku (1789-1799) dan tersebar di seluruh Eropah. Tidak berhenti setakat di Eropah, idea ini juga dibawa ke seluruh dunia. Tak terkejut lah bila berlaku banyak revolusi dan gerakan nasionalisme untuk bangsa-bangsa ini menentukan hala tuju politik mereka sendiri.

Kalau diikutkan sejarah, negara bangsa masih muda lagi. Semasa Amerika Syarikat mengesahkan Perlembagaan pada 1788[8], hanya 20 negara bangsa sahaja yang wujud. Pada abad ke-19, berlaku banyak gerakan menentang kuasa kolonial seperti Perancis dan Sepanyol. Gerakan nasionalisme juga merebak tanpa kawalan. Gerakan nasionalisme ni sering disebut sebagai "lubang kubur empayar" hasil dari gerakan nasionalisme ini - mereka menuntut kemerdekaan dan mahu tentukan hala tuju politik mereka sendiri. Pening kepala raja empayar dibuatnya macam ni.

Belum tamat di situ, Perang Dunia ke-2 pulak mainkan peranan dia. Hampir separuh daripada negara-negara yang wujud sekarang 'hasil' daripada peperangan ni. Gerakan anti-kolonial semasa 1944-1984 telah memerdekakan dalam lingkungan 90 negara!

Ada yang beranggapan dengan tertubuhnya Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu(PBB) dan Kesatuan Eropah(KE) contohnya, akan menjadikan sistem negara bangsa akan jatuh berkecai. Tapi, ini tidak berlaku. Ianya masih menjadi pemain politik antarabangsa terhebat di era ini.

Konsep "negara bangsa" ni memang indah bila kita gambarkan nya. Bak kata orang putih, what could  possibly be wrong? Tapi mesti ingat, ada pro dan kontra nya. Jangan ditelan bulat-bulat. Dan jangan hanya kerana nyamuk seekor, dibakar satu kelambu. Konsep negara bangsa ni masih boleh diperbaiki.

Dengan terbinanya sebuah negara bangsa, hala tuju dan pembangunan oleh negara tersebut dikawal oleh bangsa itu sendiri. Bukan sahaja itu, setiap bangsa ini akan ada persefahaman yang tinggi dan berkemungkinan besar - jarang sama sekali berlaku perang saudara. Sudah lah sama bangsa dan sama negara, what could possibly be wrong?

Bagaimana pula bilamana sesebuah bangsa itu tidak terdiri dari kaum yang sama? Malaysia, Indonesia, Thailand dan China sebagai contoh. Bagaimana pula dengan konsep bangsa yang perlu diutarakan, dijadikan pegangan? Ini adalah salah satu masalah besar. Apakah dia elemen penting yang mesti ada pada bangsa ini bagi mewujudkan rasa kekitaan a.k.a. homophily ni?

Bagaimana pula dengan hero sesebuah bangsa itu? Janggal amatlah kalau sesebuah bangsa tiada hero. Tetapi, apa pulak kesnya dengan bangsa ni?

Kisah hero ni, nak naikkan semangat bangsa tu sendiri. Bila dengar je kisah hero kita tu, semangat kita berkobar-kobar untuk berhadapan dengan musuh. Wajah kita tak ubah bak harimau kelaparan nak terkam mangsanya. Kalau nak contoh hero bangsa lain, boleh tengok Yi Sun Shin, King Arthur, Ertughul, Gengkhis Khan dan lain-lain.

Macam ni lah, orang Melayu sangat mengagumi Parameswara sebagai salah satu pengasas empayar agung Melayu. Tapi, dia hero siapa sebenarnya? Malaysia? Indonesia? Singapura? Brunei? Filipina? Siapakah yang layak memilih Parameswara sebagai hero? Sampai kiamat tak habis bincang ni.

Buang yang keruh, ambil yang jernih. Tak semua idea negara bangsa ni bagus. Tapi, ni tak bermakna kita kena tolak idea ni mentah-mentah. Jangan kerana nyamuk seekor, dibakar satu kelambu.

Berusahalah kita menuju kesempurnaan, walaupun kita tak akan sempurna. Siapa lagi yang akan ubah sejarah akan datang kalau bukan kita?

Artikel ini diakhiri dengan kata-kata hikmah dari Martin Luther King Jr;
We are not makers of history, we are made by history. 

Wallahualam.
😤😤😖

Sumber:

1. United Nations [2019], United Nations Member States,
https://www.un.org/press/en/2006/org1469.doc.htm

2. New World Encyclopedia [2019], Nation state,
http://www.newworldencyclopedia.org/entry/Nation-state

3. Encyclopedia Britannica [2019], Peace of Westphalia, https://www.britannica.com/event/Peace-of-Westphalia

4. OWLCITY [2019], The Rise of the Nation-State, https://owlcation.com/humanities/nation-state

5. Encyclopedia Britannica [2019], Nationalism, https://www.britannica.com/topic/nationalism

6. PennState [2019], State, Nation and Nation-State: Clarifying The Misused Terminology, https://www.e-education.psu.edu/geog128/node/534

7. The European [2019], The Role of the Nation State, https://www.theeuropean-magazine.com/mary-kaldor--2/6347-the-role-of-the-nation-state

8. HISTORY [2019], U.S. Constitution ratified, https://www.history.com/this-day-in-history/u-s-constitution-ratified

Al-Badru

Pelajar Sarjana Muda dari UiTM ini membangunkan sebuah platform untuk menyampaikan ilmu iaitu LamAlifBa. Seorang Melayu yang tidak segan akan asalnya. Realis pula pandang alamnya

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama