Masalah sosial selalunya perlukan pemikiran luar kotak untuk diselesaikan. Tapi beza dengan bandar Ulm (dalam negeri Baden-Württemberg) kat selatan Jerman, mereka guna pendekatan dalam kotak (inside-the box). Ha sudah, apa maksudnya?
Di sini, ada satu program kreatif dibangunkan oleh satu pasukan dari 6 usahawan dan pakar teknikal untuk bantu gelandangan cari tempat perlindungan di malam hari. Mereka dah bangunkan siri kapsul tidur (sleep pod) - juga dipanggil sebagai "sarang" - yang memang sesuai buat gelandangan.
Fasiliti kapsul ni bukan cap ayam walaupun dibina untuk gelandangan. Kapsul ni benarkan gelandangan untuk rehat dan tidur, reka bentuk yang futuristik, kekal panas walaupun musim salji, memuatkan 2 orang dan boleh dikunci atas tujuan keselamatan. Sekali pandang, tak terfikir langsung semua ni dibuat untuk gelandangan.
Projek ini masih dalam fasa pilot dengan ujian dan penambahbaikan masih giat dibuat. Kata Florian, ahli pasukan Ulm Nest, projek 'think tank' ni sebenarnya mula dengan siapa² boleh bagi masalah untuk pasukan ni setel-kan.
Kena dengan timing, bandar Ulm hantar masalah diorang ke pasukan ni berbunyi; "Kami ada gelandangan yang takde tempat berteduh, kami tak nak diorang mati kesejukan". Ini dia masalah yang melahirkan kapsul tidur hasil usaha keras Ulm Nest. (https://ulmernest.de/)
"Sarang²" ni dibina hanya sebagai tempat berteduh sementara saja, bukan sebagai alternatif perumahan pun. Ada ciri² lain yang ditambah baik pada kapsul ni; gubahan pintu kapsul untuk kemudahan gelandangan dan Pekerja Sosial, penebat dan integrasi "sarang²" ke dalam rangkaian IoT nirwayar bandar Ulm.
Mana kita nak jumpa ciri 'high-tech' begini dalam kapsul lain, yang sebenarnya dibina untuk gelandangan. Memandangkan jumlah kapsul sikit, ia cuma tersedia pada musim salji untuk mengelakkan gelandangan terkena frostbite. Kos pembuatan pun mahal.
Apa yang bikin lagi menarik, reaksi balas penduduk Ulm akan projek ni sangat positif. Kata Florian, mereka terima kesan yang mereka tak pernah sangka. Jiran tetangga siap sediakan teh panas waktu pagi, pegawai bandar pun bagi sokongan, malah orang lain (gelandangan dan bukan gelandangan) ikut berterima kasih kat diorang.
Sekarang, Ulm Nest jadi bukti nyata dan praktikal yang mampu selamatkan nyawa orang lain. Dengan keterhadan rumah mampu milik yang tak jumpa jalan keluar, inovasi seperti Ulm Nest adalah cahaya di hujung terowong buat gelandangan. Walaupun ia tak menyelesaikan akar masalah mereka, ia beri percikan harapan bahawa esok hari akan jadi lebih baik.