Mengapa Pemenang Kekal Menang Berterusan?


Ini adalah artikel akhir blog ini buat tahun 2021 (atau apa saya suka rujuk jugak sebagai 2020+1). Letih mengharungi 2020 hingga ke 2021, tak sangka sekarang ini sudah diambang 2022.


Penulisan ni dimulakan dengan satu soalan - mengapa pemenang berterusan.. menang? 


Merentas masa balik ke lewat 1970-an, resmi penulis adalah mereka takkan terbitkan lebih daripada 1 buku setahun. Rasional mereka; terbitkan lebih daripada 1 buku setahun akan melunturkan jenama penulis itu.


Hal berbeza pula buat Stephen King kerana beliau terbitkan buku pada kadar 2 buku setahun. Macam mana beliau buat? Beliau guna pendekatan berbeza - gunakan nama pena berbeza iaitu Richard Bachman. 

Kredit: ScreenRant

Selang beberapa tahun kemudian, nasib berbeza menimpa antara 2 penulis 'berbeza' ini. Dikala buku Stephen King terjual jutaan unit, karya Richard Bachard pula masih tak diketahui umum. Eh, bagaimana boleh jadi begini?


Rahsia King terbongkar bila Steve Brown, kerani kedai buku di Washington D.C. perasan ada persamaan di lenggok penulisan antara King dan Bachman. Bila King disoal bersama dengan bukti, beliau akhirnya mengaku akan tindakannya dan setuju untuk ditemubual oleh Brown selang beberapa minggu kemudian.


Kemudian pada 1986, Stephen King menerbitkan semula semua buku Richard Bachman ke bawah nama sebenarnya setelah rahsia ini dibocorkan. Lepas orang tahu sebenarnya Bachman adalah King, karya Bachman terjual licin mencapai 3 juta salinan. Tak terbayang dek akal.


Fenomena ini tak terjadi ekslusif kepada Stephen King seorang saja. Ia berlaku pada J.K. Rowling juga.

Kredit: Vanity Fair

J.K. Rowling pernah menerbitkan buku The Cuckoo's Calling di bawah nama pena baru, Robert Galbraith. Malangnya, ia dikantoikan oleh advanced text analysis menerusi komputer. Tak lama selepas orang tahu kebenaran dia, jualan buku The Cuckoo's Calling meroket lebih 150,000% dan menduduki tangga ke-3 di senarai bestseller Amazon. Sebelum ni buku tu di tangga berapa, tahu? Di tangga ke-4,709.


Anekdot ini khususnya merungkai sebuah kebenaran pahit akan kejayaan dan status sosial iaitu pemenang selalunya akan kekal menang. Kesan Matthew (Matthew effect) menunjukkan bahawa orang yang ada kelebihan relatif berbanding orang lain dapat kekalkan kelebihan itu seiring masa berlalu pergi.


Fenomena ini menyatakan kepada kita -- kenapa karya King dan Rowling berjaya terjual jutaan salinan, tetapi karya Bachman dan Galbraith tidak laris meskipun ditawarkan pada kualiti yang sama.


Hanya dengan menggunakan simulasi ringkas, kita dapat tengok gambaran kesan kelebihan kumulatif (cumulative advantage). Simulasi ini dijalankan oleh Of Dollars and Data


Bayangkan kita ada 400 guli (100 hitam, 100 biru, 100 merah, 100 hijau) dalam 1 beg. Lalu, kita ambil 1 guli secara rawak dan masukkan 1 guli yang sama warna kembali dalam beg.


Contoh; kita pilih guli hijau, kiranya kita ada 101 hijau, 100 merah, 100 hitam, 100 biru. Buat 40 kali dan tamatkan game. Hasil akhirnya tak banyak berubah.


Namun apa pulak jadi bila kita ubah - kita beri kelebihan pada guli warna tertentu? Contoh; daripada sekadar masukkan semula 1 guli, kita masukkan 100 guli pada setiap pusingan.


Dengan kaedah ini, satu guli warna itu akan memiliki kelebihan 20% (200/500). Lebih mengejutkan dengan 20% kelebihan ini sahaja, penambahan guli mendadak signifikan. Lebih-lebih lagi, kelebihan hanya diberikan pada pusingan awal sahaja dan seterusnya dibiar begitu saja. Bahkan, penambahan guli akan bertambah lebih besar jika peratus kelebihan ini lebih besar. 

Kredit: OfDollarsAndData.com

Semakin besar peratus kelebihan, pengagihan pegangan guli akan bertambah besar juga. Apa signifikan simulasi guli2 ini?


Demonstrasi ini menunjukkan peri pentingnya keadaan garis permulaan untuk menentukan hasil jangka panjang. Sebaliknya, garis permulaan semua orang adalah berbeza dan nasib orang banyak ditentukan oleh tuah. Guli ini hanyalah perumpamaan kepada harta, populariti, pelaburan atau jualan buku.


Duduklah dan fikirkan sejenak. Dalam kehidupan kita, sejauh mana tuah memainkan peranan besar dalam hidup kita?


Hanya selepas kita sedar betapa besarnya impak kejadian dan kebetulan dalam hidup kita, kita akan berhenti menilai diri sendiri berdasarkan hasil akhir kita. Malahan, kita akan lebih fokus pada usaha kita.


Kerana, hanya usaha sahaja yang kita boleh kawal. Kita tiada daya kuasa untuk mengawal tuah, rezeki sekelumit mana pun.


Kesudahannya, janganlah dibenarkan tuah untuk kita berhidung tinggi, tapi jangan juga kita benarkan nasib malang itu menghempas semangat hidup kita ke dasar bumi. Kerana bagi setiap Stephen King, akan ada Richard Bachman yang kejayaannya tak pernah kunjung tiba.


Betul, ada orang dianugerahkan kelebihan berbanding orang lain dan ada orang dilahirkan serba kekurangan, tetapi ia tak menentukan segalanya dalam hidup kita.


Maka, teruskan lah berusaha. Memang benar langit tak kekal cerah, tapi kaki kita perlu terus menapak ke hadapan.


Terima kasih kerana sudi membaca hingga ke penghujung ini. Semoga penulisan ni bantu kita semua untuk menanam azam baru demi berdepan 2022.


Sumber:


1. Nick Maggiulli (Of Dollars And Data), Why Winners Keep Winning, https://ofdollarsanddata.com/why-winners-keep-winning/

2. Alex Hern (The New Statesman), Sales of "The Cuckoo's Calling" Surge by 150, https://www.newstatesman.com/culture/2013/07/sales-cuckoos-calling-surge-150000-after-jk-rowling-revealed-author

Al-Badru

Pelajar Sarjana Muda dari UiTM ini membangunkan sebuah platform untuk menyampaikan ilmu iaitu LamAlifBa. Seorang Melayu yang tidak segan akan asalnya. Realis pula pandang alamnya

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama