Eropah telah berubah
daripada pemacu kemajuan tamadun manusia kepada 'rumah sembelihan' manusia
akibat dua perang dunia yang berlangsung di Eropah; Perang Dunia Pertama
(1914-1918) dan Perang Dunia Kedua (1939-1945). Dek kerana dua perang dunia
ini, Eropah tak ubah seperti padang jarak padang tekukur.
Banyak bandar yang sedang
membangun dalam sektor industri dan pusat budaya di UK, Perancis, Jerman, Itali
mahupun Belgium musnah akibat perang. Bukan itu sahaja, infrastruktur
pengangkutan seperti jalan raya, laluan keretapi, jambatan dan pelabuhan
menerima kerosakan teruk akibat serangan udara.
Setelah bertahun-tahun
menghadapi kekurangan bekalan makanan, pengangguran dan masalah berkaitan
dengan perang dan pemulihan, Eropah makin terdedah dengan masalah lain yang
menanti nanti. Malah, situasi kejatuhan ekonomi sememangnya mencipta pesimisme
berkenaan masa depan Eropah yang memecahkan kelas masyarakat dan
ketidakstabilan politik di rantau itu.
Kerisauan ini disuarakan
melalui cadangan Rancangan Marshall dalam ucapan Setiausaha Negeri US George
Marshall di Universiti Harvard pada 5 Jun 1947. Ia adalah respon kepada keadaan
politik, ekonomi dan sosial yang kritikal di Eropah ketika itu. Beliau hanya mencadangkan
Amerika Syarikat bersedia untuk merangka sebuah program dan menyediakan bantuan
"sejauh mana ia praktikal bagi kita untuk berbuat demikian" (so far
as it may be practical for us to do so).
Marshall menyatakan
bantuan ini mesti menjadi usaha bersama; "dimulakan" dan dipersetujui
oleh negara-negara Eropah lain.
Kebanyakan negara-negara
Eropah memberikan maklum balas yang baik pada cadangan awal Marshall. Sebanyak
16 buah negara Eropah Barat menghadiri persidangan di Paris untuk menubuhkan
Jawatankuasa Kerjasama Ekonomi Eropah [Committee of European Economic
Cooperation (CEEC)] pada 12 Julai 1947.
Masalahnya sekarang, US
tak puas hati dengan arah tuju perancangan ni. Setiap negara mencipta
"senarai borong" berbanding rancangan untuk keseluruhan Eropah amnya.
Tak cukup dengan itu, Perancis pulak berpandangan Jerman Barat (pada masa itu
dikuasai oleh US, UK dan Perancis) perlu ber-ekonomi lemah dan tak sepatutnya
menerima Rancangan Marshall.
Marshall tak bersetuju langsung
dengan pandangan tu. Marshall bertegas, rancangan ni mesti mewujudkan ekonomi
mandiri, taraf hidup yang munasabah dan menghapuskan halangan perdagangan bagi
seluruh Eropah Barat. Penyertaan Jerman Barat dalam rancangan ni mesti dibuat
kalau Eropah Barat betul-betul mahu membangunkan ekonominya semula.
Akhirnya, laporan akhir
dikeluarkan dan dihantar ke US pada September 1947 selepas tekanan dibuat oleh
Marshall. Laporan akhir ni menggesa program empat tahun untuk menggalakkan
pengeluaran, mewujudkan kestabilan kewangan dalaman, membangunkan kerjasama
ekonomi negara anggota dan menyelesaikan masalah defisit yang wujud dengan zon
dolar Amerika.
Jemputan untuk
pembangunanan semula bawah Rancangan Marshall sudah diperluaskan kepada
Kesatuan Soviet dan negara-negara satelitnya di Eropah Timur. Namun, mereka
menolak untuk menyertai usaha tu kerana risau campurtangan US dalam hal ehwal
negara mereka.
Pentadbiran Truman ketika
itu membentangkan banyak hujah kepada Kongres dan awam untuk mendanai Rancangan
Marshall; menghalang kegawatan ekonomi di US dengan menjadikan Eropah pasaran
kepada barangan US dan juga bantuan kemanusiaan kepada Eropah pasca perang.
Tapi, hujah terbaik untuk menjustifikasi Rancangan Marshall semestinya
membendung penyebaran komunisme.
Pada kemuncak perdebatan
pasal Rancangan Marshall, kerajaan Czechoslovakia telah digulingkan oleh
komunis pada Februari 1948. Presiden Harry Truman menggunakan kesempatan untuk
berucap di Kongres, "Ada saat dalam sejarah dunia, di mana lebih bijak
untuk bertindak berbanding ragu-ragu" (There are times in world history,
when it is wiser to act than to hesitate).
Kongres bertindak pantas
untuk membenarkan bantuan kecemasan ke Perancis, Itali dan Greece (kerana parti
komunis aktif kat sana ketika itu). Penggubal undang-undang terus meluluskan
Akta Kerjasama Ekonomi 1948, yang mendanai Rancangan Marshall dengan jumlah
dana yang kurang sedikit berbanding permintaan asal Presiden Truman. Pada empat
tahun seterusnya, US dah menyumbang lebih $13 bilion kepada 16 buah negara
Eropah Barat, termasuklah Jerman Barat. (Nilainya pada hari ini melebihi $100
bilion!)
Ketika Rancangan Marshall
tamat pada 1951, pengeluaran industri di Eropah Barat sudah meningkat 40
peratus berbanding pada era pasca perang. Eksport dan perdagangan sudah naik
mendadak jika dibandingkan ketika sebelum perang. Rakyat sudah kembali bekerja
dan taraf hidup pun naik.
Dalam aspek politik,
parti komunis sudah kehilangan pengaruh lepas Rancangan Marshall dilaksanakan.
Takde lagi negara yang terikut jatuh ke komunisme selepas Czechoslovakia.
Lagipun, kebangkitan ekonomi Jerman Barat sebenarnya membantu negara-negara
jirannya berbanding mengancamnya ke kancah peperangan seperti dahulu.
Biarpun Rancangan
Marshall kembali memulihkan wajah Eropah pasca perang, ia masih gagal
menghapuskan kesemua masalah Eropah. Inflasi masih menjadi masalah di
sesetengah negara. Halangan perdagangan masih wujud di Eropah ketika itu,
walaupun cadangan Rancangan Marshall sebenarnya untuk mewujudkan pasaran
tunggal di Eropah.
Atas jasa pembangunan
semula Eropah Barat selepas perang dunia, George Marshall dianugerahkan
Anugerah Keamanan Nobel 1953. US sudah pun ‘melabur’ pada masa depan Eropah
baharu dengan memutuskan kitaran perang yang asyik berlaku di Eropah. US
menonjolkan diri sebagai pemimpin dunia bebas (free world) selepas keluar
daripada ‘traditional isolationism’. Eropah terhutang budi dengan jasa George
Marshall, sampai Winston Churcill berpandangan Rancangan Marshall tu ‘tahap
tertinggi sebuah diplomasi’ (the highest level of a statesmanship).
Sumber:
2.
Constitutional
Right Foundation, The Marshall Plan for Rebuilding Western Europe, https://www.crf-usa.org/images/pdf/gates/Marshall_Plan.pdf
3.
Congressional
Research Service(2018), The Marshall Plan: Design, Accomplishments, and
Significance, https://fas.org/sgp/crs/row/R45079.pdf
Tags:
Info Global