Pada 9 November ni, genaplah 30 tahun sempena keruntuhan Tembok Berlin yang memisahkan wilayah Jerman Barat dan Jerman Timur. Tembok Berlin selama ini menjadi simbol kepada Perang Dingin dan Tirai Besi (Iron Curtain) - sangat sinonim dengan komunisme yang diketuai oleh Soviet dan demokrasi yang diketuai oleh Barat. Keruntuhan Tembok Berlin menjadi tanda simbolik kejatuhan Tirai Besi dan pengakhiran kepada Perang Dingin itu sendiri.
Buat kali pertama, rakyat Jerman Timur dapat bergerak bebas ke Jerman Barat. Hasilnya, penyatuan Republik Persekutuan Jerman (Jerman Barat) dan Republik Demokratik Jerman (Jerman Timur) dapat direalisasikan pada 3 Oktober 1990. Tembok Berlin yang selama ini menjadi pemisah fizikal antara dua wilayah yang berbeza ideologi politik, sosial mahupun ekonomi akhirnya ditumbangkan jua.
Justeru, apa yang berlaku selepas keruntuhan Tembok Berlin ini?
Keruntuhan Tembok Berlin membuka peluang kepada penyatuan semula Jerman. Gorbachev (Presiden USSR) bersetuju dengan rundingan George H. W. Bush (Presiden AS) dan Helmut Kohl (Canselor Jerman Barat) untuk membenarkan penyatuan dua Jerman ni.
Penyatuan Jerman adalah sebuah dilema kepada Eropah. Selama lebih dua abad, persoalan 'Soalan Jerman' (Germany Question) banyak berlegar-legar di sejarah Eropah moden; apakah sempadan kepada negara Jerman itu? Apakah sistem politik yang diamalkan di negara Eropah Tengah ni? Kini, Jerman menggunakan rejim demokrasi berbanding rejim autoritarian.
Jerman mengalami perbezaan ekonomi yang jelas pasca penyatuan sebab sebelum ni, Jerman Barat mengamalkan sistem kapitalisme dan Jerman Timur menggunapakai sistem komunisme. Jadi, Jerman Timur dapat mengejar Jerman Barat apabila guna sistem kapitalisme.
Walaupun begitu, masih wujud sebenarnya sebuah 'penghalang ghaib' yang menghalang Jerman untuk bersatu. Walaupun selepas 30 tahun keruntuhan Tembok Berlin.
Dalam politik, rakyat Jerman jelas berpecah. Pengundi di wilayah bekas naungan komunis lebih cenderung untuk mengundi parti kanan-jauh (far right), AfD. Boleh dikatakan ia berpunca akibat trauma. Kehidupan rakyat Jerman yang pasca penyatuan adalah sukar akibat terpaksa menyesuaikan diri dengan perubahan sosial secara drastik. Malah, ramai juga rakyat Jerman Timur melihat diri mereka sebagai "rakyat kelas kedua" berbanding Jerman Barat.
Walaupun Jerman berjaya menjadi kuasa ekonomi, jurang perbezaan tetap ada antara Jerman Timur dan Barat. Gaji dan pendapatan di Jerman Timur hanyalah 85 peratus berbanding di Barat. Kadar pengangguran pun nampak jelas kurangnya; 6.9 peratus di Timur berbanding 4.8 peratus di Barat. Rakyat Jerman Timur tidak diwakili sepenuhnya dalam aspek politik, ekonomi mahupun sosial berbanding Jerman Barat walaupun Canselor Jerman sekarang, Angela Merkel berasal dari Jerman Timur.
Tumbangnya Tembok Berlin selalu dicanang sebagai simbol kemenangan demokrasi liberal atas ideologi komunisme. Pengakhiran kepada Perang Dingin yang melibatkan dua kuasa besar dunia, AS dan USSR. "Sejarah sudah tamat", itulah yang persis dikatakan oleh Francis Fukuyama. Demokrasi dan kapitalisme mesti diterimapakai oleh seluruh dunia untuk memastikan keamanan terus kekal.
Tapi, siapa sangka Jerman gagal bersatu padu sebagai satu walaupun wilayah negara Jerman sudah disatukan secara fizikal selepas 30 tahun. Bukan itu saja, nasionalisme sudah mencipta fenomena tersendiri di banyak negara termasuk AS sendiri.
Memang, dunia yang wujud tanpa tembok mahupun halangan tidaklah utopia mana.
Rujukan
1. Andrew Bonell, The Conversation [2018], World politics explainer: The fall of Berlin Wall, theconversation.com/world-politics-explainer-the-fall-of-the-berlin-wall-100812
2. Jennifer Rosenberg, ThoughtCo [2019], All About the Rise and Fall of the Berlin Wall, https://www.thoughtco.com/the-berlin-wall-28-year-history-1779495
3. Paul Carrel, Reuters [2019], Thirty years after it fell, the Berlin Wall still divides Germans, https://mobile.reuters.com/article/amp/idUSKBN1X31T6
4. Loveday Morris, Luisa Back, The Washington Post [2019], 30 years after the fall of the Berlin Wall, children of the united Germany remain divided, www.washingtonpost.com/world/europe/30-years-after-the-fall-of-the-berlin-wall-children-of-a-united-germany-remain-divided/2019/11/07/08840a18-ff89-11e9-8341-cc3dce52e7de_story.html