Lubnan Kembali Bergolak Dek Kerana Politik Sektarian Dan Masalah Ekonomi


Kalau korang cakna dengan berita antarabangsa, korang akan perasan isu protes besar-besaran di Lubnan. Terbaharu, Perdana Menteri Lubnan Saad Hariri telah pun meletak jawatan pada 29 Oktober lepas. Apa yang bikin ribut sebenarnya ni?

Pada 17 Oktober lepas, PM Saad Hariri mengumumkan cadangan kerajaan untuk mengenakan beberapa cukai regresif termasuklah cukai terhadap servis panggilan melalui aplikasi Whatsapp. Protes rakyat Lubnan baru-baru ni dikatakan adalah respon daripada cadangan kerajaan mengenai cukai regresif ni.

Dalam masa beberapa hari je, jumlah orang menyertai protes meningkat. Ia menjadi protes anti-kerajaan terbesar yang pernah disaksikan negara tu pasca perang saudara pada 1990. Ramai rakyat Lubnan turun ke jalanan mengakibatkan kelumpuhan pada sistem pengangkutan dan perbankan negara tu.

Saad Hariri diberi masa 72 jam untuk menyediakan pakej ekonomi baru kepada masalah ekonomi Lubnan. Solusi yang dinyatakan oleh Hariri adalah mengurangkan gaji pegawai awam kepada separuh, menyelesaikan krisis elektrik Lubnan dalam masa setahun dan melucutkan sebuah kementerian serta beberapa badan kerajaan lain.

Hariri pun sudah umumkan yang takde cukai regresif baharu yang akan diperkenalkan dan akan menswastakan sektor telekomunikasi. Tapi, itu bukan jawapan kepada masalah ekonomi Lubnan. Sudahnya, makin ramai rakyat yang berkumpul dan buat protes di Beirut.

Akhirnya, PM Saad Hariri pun meletak jawatan pada 29 Oktober. Walaupun Saad Hariri meletak jawatan, masalah Lubnan masih tak selesai. Lubang yang bermasalah masih tak ditutup, malah dibiarkan terbuka.



Ada yang melihat masalah ini berakar jauh dalam sistem sektarian yang diamalkan di Lubnan. Jawatan kepimpinan kerajaan dikhaskan mengikut pengkelasan khusus; Presiden dijawat oleh Kristian Maronite, Perdana Menteri dijawat oleh Muslim Sunni manakala Speaker Parlimen disandang oleh Muslim Syiah. Bukan itu sahaja, kerusi Parlimen juga diagihkan mengikut kuota mengikut sekta yang sudah dipersetujui.

Tapi, kuota yang ditetapkan berdasarkan sekta inilah yang menjadi punca perang saudara berdarah di Lubnan pada 1975 -1990. Konflik berdarah ini adalah titik hitam kepada negara itu. Akhirnya pada 22 Oktober 1988, Perjanjian Taif ditandatangani untuk memberi lebih banyak kesamarataan dalam kerajaan sektarian Lubnan sama ada dalam kuota kerusi Parlimen mahupun jawatan penting kerajaan.

Kepelbagaian sekta kat Lubnan menyebabkan kesulitan untuk membentuk kerajaan dan membina negara. Malah, Saad Hariri mengambil masa sembilan bulan untuk membentuk kerajaan sejak Januari 2019. Rakyat Lubnan berprotes 17 Oktober lepas akibat muak dengan politik sektarian yang akhirnya akan memecahbelahkan Lubnan sendiri.


Masalah ekonomi Lubnan tak kurang parahnya jugak. Polisi fiskal Lubnan selama ini mengakibatkan hutang berskala besar dan ketidakadilan. Nisbah hutang kepada GDP Lubnan sahaja mencecah 155 peratus. Malah, sebahagian besar hutang Lubnan adalah hutang asing. Aktiviti import mengatasi eksport di Lubnan, dan bajet defisit kerajaan sudah masuk 10 peratus daripada GDP tahun ni.

Mengurus hutang besar negara ni menyediakan ruang yang terlalu kecil untuk kerajaan berbelanja dalam menyelesaikan masalah sosial negara. Contohnya, sistem elektrik yang tak berfungsi mengakibatkan pengguna terpaksa membayar lebih untuk mempunyai janakuasa (generator) sendiri. Rakyat juga bergantung kepada air berbotol berana kualiti air paip yang teruk. Ini hanya permukaan kepada masalah sosial di Lubnan.

Bank pusat Lubnan telah menjadi sasaran kerana dituduh memelihara kepentingan bank dan bukannya kesejahteraan rakyat. Gabenor bank pusat, Riad Salame sudah meneliti untuk melaksanakan kejuruteraan kewangan (financial engineering) yang pada asalnya adalah langkah sementara dengan tujuan; mengelakkan hiperinflasi pasca perang saudara 1990.

Antara langkah tersebut adalah menambat (peg) pound Lubnan kepada dolar US, secara rasmi pada 1,507 pound kepada dolar. Tapi bebanan hutang yang besar dan kebantutan pembangunan menyukarkan kerajaan untuk mengekalkan tambatan itu.

Bank-bank sudah mengumpul dolar akibat kekurangan dolar dalam beberapa bulan lepas. Menamatkan tambatan kepada dolar AS akan mengakibatkan krisis di Lubnan. Pastinya kerajaan tidak mahukan kesan buruk itu berlaku.

Rusuhan di Lubnan ini adalah hasil manifestasi rakyat yang sudah muak akan politik sektarian yang menyukarkan pembinaan negara dan krisis ekonomi Lubnan yang tenat. Negara pinggir Laut Mediterranean ni memerlukan langkah penyelesaian kepada masalah-masalah ini.

Takde siapa yang dapat mengagak apa yang akan berlaku seterusnya. Siapa sangka rusuhan bersifat spontan pada awalnya ini mampu menggoncangkan tonggak kepimpinan kerajaan Lubnan? Jadi, apa pula seterusnya selepas ni? Adakah jawapan kepada masalah yang membelenggu hidup rakyat Lubnan bakal muncul, atau sebaliknya? Adakah ini jugak permulaan kepada Arab Spring 2.0?

Wallahualam.

Rujukan:

1. Al Jazeera [2019], Lebanon protest, all the latest updates,
 www.aljazeera.com/amp/news/2019/10/lebanon-protests-latest-updates-191022065629885.html

2. Richard Hassel, The Independent [2019], All of them means all of them: How Lebanon's spontaneous protest over taxes led to calls for revolution,
www.independent.co.uk/news/world/middle-east/lebanon-protests-latest-corruption-middle-east-revolution-tax-a9165161.html

3. Kareem Chehayeb, Abby Sewell, Foreign Policy [2019], Why Lebanon Protesters Are Taking to the Streets, foreignpolicy.com/2019/11/02/lebanon-protesters-movement-streets-explainer/#

4. Monkey Cage, Washington Post [2019], Lebanon's crisis didn't happen overnight. So how did it get to this point? www.washingtonpost.com/politics/2019/10/22/lebanons-economic-crisis-didnt-happen-overnight-so-how-did-it-get-this-point/

Al-Badru

Pelajar Sarjana Muda dari UiTM ini membangunkan sebuah platform untuk menyampaikan ilmu iaitu LamAlifBa. Seorang Melayu yang tidak segan akan asalnya. Realis pula pandang alamnya

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama