Baru-baru ini, Perdana Menteri ke-7 Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamed telah diberi penghormatan untuk berucap di sesi dialog Persidangan Antarabangsa ke-25 mengenai Masa Depan Asia (Persidangan Nikkei). Beliau melontarkan sebuah idea kepada hadirin iaitu mewujudkan satu mata wang baharu untuk Asia Timur yang bersandarkan emas. Alasan yang diberikan oleh beliau adalah ia lebih stabil untuk didagangkan berbanding matawang kini yang mudah dimanipulasi. Selain itu, ia boleh digunakan untuk menilai aktiviti eksport dan import di negara-negara Asia Timur. Tambahnya lagi, mata wang itu mestilah berkait dengan mata wang tempatan dalam kadar pertukaran.
Sudah terang lagi bersuluh, kata kunci bagi idea Tun Dr Mahathir Mohamed adalah penggunaan semula kaedah piawai emas (gold standard). Sebelum penulis menerangkan mengenai baik buruk piawai emas ini, moleklah kiranya jika kita faham istilah dan sejarahnya telebih dahulu. Tak begitu?
Istilah dan sejarah
1) Piawai emas (gold standard) adalah sebuah sistem monetari di mana sebuah negara mengikat nilai mata wang mereka dengan jumlah emas yang dimilikinya. Jumlah wang yang dikeluarkan bank pusat adalah terhad mengikut nilai rizab emas mereka. Pembayaran di peringkat antarabangsa dibuat dalam nilai emas. Memandangkan setiap matawang itu diikat dengan nilai berat emas yang tetap, kadar pertukaran antara negara adalah tetap dan ia mencerminkan perbezaan berat emas pada mata wang masing-masing.2) Selama berabad lamanya, logam berharga seperti emas dan perak digunakan sebagai medium pertukaran dalam transaksi tempatan mahupun antarabangsa. Mereka menjadi pilihan untuk menjadi medium pertukaran kerana tahan lama, mudah dibawa (transportable), sukar dipalsukan dan mudah diperiksa. Bekalan emas selalunya diperolehi melalui perdagangan, hasil bumi, deflasi ataupun rampasan. Penemuan benua Amerika pada abad ke-15 telah menimbulkan keghairahan manusia untuk mengumpul emas. Harta rampasan Sepanyol dari Dunia Baharu (New World) telah meningkatkan bekalan emas di Eropah sebanyak lima kali ganda pada abad ke-16!
3) Jika anda menyangka kepulauan Melayu ketinggalan dalam sistem kewangan matawang pada era empayar Melayu dahulu, anda ternyata silap besar. Penemuan dinar dan syiling emas di Tanah Melayu, Borneo, Sumatera, Celebes dan lain-lain membuktikan kemajuan aktiviti perdagangan di rantau ini. Pada era Sultan Muzaffar Shah di Kesultanan Melaka, duit syiling timah mula dikeluarkan dan digunakan oleh rakyat jelata. Kerajaan-kerajaan lain di kepulauan Melayu terus mengikuti jejak langkah Kesultanan Melaka untuk kekal bersaing dalam aspek ekonomi. Tidak hairan lah jika banyak kerajaan Melayu sebelum ini begitu makmur dek kerana kepesatan aktiviti perdagangan yang membawa kepada limpahan ekonomi di rantau ini.
4) Wang kertas mula diperkenalkan di Eropah pada abad ke-16. Ia dikeluarkan oleh bank swasta dan nilainya bergantung kepada kredibiliti penerbit. Walaupun syiling emas menguasai sistem kewangan Eropah, wang kertas mula menguasai kewangan Eropah pada abad ke-18. Pergelutan antara emas dan wang kertas ini akhirnya mewujudkan piawai emas (gold standard). Ia mula digunapakai pada tahun 1870-an sehingga Perang Dunia Pertama (1914-1918).
5) Keresahan mula timbul antara kuasa besar ekonomi dunia ketika itu akan sistem kewangan baharu yang perlu digunapakai pasca Perang Dunia Pertama. Piawai emas menunjukkan ketidakmampuannya untuk berfungsi dengan efisien pada fasa aman mahupun peperangan. Ia mengakibatkan keruntuhan keyakinan banyak negara akan sistem ini. Maka, piawai emas ditubuhkan sebahagian sahaja pasca peperangan ini. Malangnya, krisis ekonomi The Great Depression (1929-1939) menandakan pengakhiran kepada piawai emas ini.
6) Melihat Perang Dunia Kedua (1939-1945) hampir menemui noktahnya, para delegasi dari 44 buah negara telah berkumpul untuk membangunkan sistem kewangan antarabangsa iaitu sistem Bretton Woods. Melalui sistem ini, semua matawang negara dinilai mengikut Dolar AS yang menjadi matawang rizab dominan pada peringkat global. Dolar AS pula boleh ditukar dengan emas pada nilai tetap 35 auns. Sistem ini digunapakai sehingga 1971 akibat masalah stagflasi dan kekurangan simpanan emas yang dialami oleh Amerika Syarikat. Kini, sistem kadar pertukaran apungan (floating exchange rate) digunapakai oleh banyak negara pasca kegagalan sistem Bretton Woods dan piawai emas.
Baik & Buruk Piawai Emas
Setelah kita belek lipatan sejarah sistem kewangan dunia, boleh kita simpulkan bahawa sistem ini berevolusi mengikut peredaran zaman bergantung kepada keperluan. Tidak semua sistem kewangan yang diaplikasikan ini bebas dari segala keburukan. Semua turut mempunyai pro dan kontra masing-masing termasuklah piawai emas.
i) Penggunaan piawai emas memastikan nilai matawang disandarkan dengan aset tetap iaitu emas. Kerajaan hanya mencetak wang kertas berpandukan simpanan emas sesebuah negara itu. Secara tak langsung, kerajaan dapat mengawal inflasi iaitu terlalu banyak wang diperlukan untuk memiliki terlalu sedikit barangan. Sistem ini juga tidak menggalakkan bajet defisit dan hutang memandangkan kerajaan hanya mampu berbelanja mengikut simpanan emas mereka.
ii) Piawai emas menggalakkan sesebuah negara untuk menjadi lebih produktif. Memandangkan emas digunakan dalam transaksi antarabangsa, sesebuah negara dapat meningkatkan simpanan emas mereka melalui pengekportan. Semakin banyak simpanan emas sesebuah negara, semakin banyak wang kertas dapat dicetak sebagai medium pertukaran. Hal sedemikian dapat merangsang pelaburan eksport mereka yang sudah tentu menguntungkan sesebuah negara.
iii) Namun begitu, saiz dan kesihatan ekonomi sesebuah negara bergantung kepada simpanan emas negara tersebut. Ekonomi negara tersebut tidak lagi bergantung kepada sumber daya manusia mahupun perniagaan. Negara yang tidak mempunyai simpanan emas tidak akan mampu berdaya saing dengan negara-negara lain.
iv) Bukan itu sahaja, piawai emas mengakibatkan banyak negara kian obses untuk menyimpan emas. Walhal, mereka sepatutnya menambahbaik iklim perniagaan global. Sebagai contoh, Rizab Persekutuan (Federal Reserve) telah menaikkan kadar faedah semasa era The Great Depression untuk menjadikan dolar lebih bernilai dan menghalang orang ramai menebus emas. Tindakan kerajaan untuk melindungi rizab emas mereka telah mengakibatkan ketidaktentuan yang ketara dalam ekonomi. Hasilnya, ekonomi Amerika Syarikat mengalami lima kemelesetan utama (major recession) antara tahun 1890 dan 1905.
Wajarkah Kita Kembali Menggunakan Piawai Emas?
Sudah tiba masanya untuk menjawab persoalan utama ini. Wajar atau tidak sebenarnya untuk kita kembali menggunakan piawai emas sekarang ini? Sudah tentu tidak.Sistem ini bakal merencatkan kemajuan sesebuah negara apabila saiz ekonomi negara tersebut mengecil kerana perlu bergantung dengan simpanan emas yang dimiliki. Kerajaan sudah semestinya sukar untuk melaksanakan bajet defisit dan banyak sumber ekonomi tidak dapat digunakan sepenuhnya. Ini bermakna kapasiti monetari dan fiskal kerajaan akan mejadi sangat terhad. Hanya negara yang mempunyai simpanan emas yang banyak sahaja mampu berbelanja dan meningkatkan ekonomi mereka berbanding negara yang mempunyai sedikit simpanan emas.
Piawai emas juga tidak akan menstabilkan inflasi. Secara umum, peningkatan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan akan mengakibatkan pengguna untuk menyimpan wang. Pengurangan pendapatan akan mengurangkan perbelanjaan pengguna. Ekonomi menjadi perlahan dan inflasi berkurang. Hal ini berbeza apabila piawai emas digunapakai berdasarkan rekod hitam Amerika Syarikat yang telah mengalami lima kemelesetan utama antara 1890 dan 1905 (rujuk isi iv). Hal ini menjelaskan bahawa kerajaan tiada kuasa penuh untuk melaksanakan kuasa monetari seperti sekarang.
Malah, harga emas juga mampu jatuh sama juga seperti wang fiat sekarang. Emas sememangnya mempunyai nilai tersendiri, tetapi nilainya tidak menentu dan ia tidak imun daripada penurunan harga. Ia sama sahaja seperti komoditi lain yang bergantung kepada bekalan dan permintaan serta beberapa faktor luaran lain. Ketidaktentuan nilai emas sudah tentunya menandakan bahawa emas bukan lagi sebuah komoditi yang sesuai untuk diikat dengan wang fiat sekarang.
Piawai emas bukanlah satu sistem yang sempurna dari sebarang cacat cela (flawless), namun ini tidak bermakna piawai emas tiada sumbangannya dalam ekonomi dan peradaban manusia. Emas telah digunakan secara meluas di seluruh dunia telah mendorong manusia untuk melahirkan piawai emas yang stabil pada era itu. Dunia sudah mula melangkah masuk ke era globalisasi dan revolusi industri keempat yang bertunjangkan data programming, maka penggunaan semula piawai emas adalah tidak sesuai. Maka, kita sekarang mempunyai misi baharu untuk menubuhkan sebuah sistem kewangan baharu yang lebih stabil berbanding sebelum ini. Adakah anda sudah bersedia?
Search and think, then you shall find answers for every query.
Wallahualam.
Sumber:
1. The Star Online (2019), Lets have common East Asian currency based on gold, says Dr M,
https://www.thestar.com.my/business/business-news/2019/05/30/lets-have-common-east-asian-currency-based-on-gold-says-dr-m/
2. Nick K. Lioudis, Investopedia(2019), What is the Gold Standard,
https://www.investopedia.com/ask/answers/09/gold-standard.asp
3. Kimberly Amadeo, The Balance(2019), What is Gold Standard,
https://www.thebalance.com/what-is-the-gold-standard-3306137
4. James Chen, Investopedia (2019), Bretton Woods Agreement,
https://www.investopedia.com/terms/b/brettonwoodsagreement.asp
5. Jeff Reeves, Investor Place(2012), 7 Logical Reasons a Gold Standard is the worst idea ever,
https://investorplace.com/2012/09/7-logical-reasons-a-gold-standard-is-the-worst-idea-ever/
6. Gong Cheng, Laurent Ferrara, Yannick Kalantzis and Pascal Towbin (2010), What is Gold Standard, daripada https://www.citeco.fr/sites/default/files/images_spip/gold-standard.pdf
7. Salmy Edawati binti Yaacob, Sejarah Dinar Emas dan Kronologi Pertukaran Mata Wang Dunia (2009)
8. Matthew Yglesias, Vox (2014), 7 reasons the standard gold is a terrible idea,
https://www.vox.com/2014/7/16/5900297/case-against-gold-standard