"Melayufobia" - Dilema 'Melayu' Di Borneo

Borneo (tulisan Jawi, بورنيو) adalah salah sebuah gugusan pulau di kepulauan Melayu. Orang Melayu adalah orang asal di kepulauan Melayu. Malah, sudah lama teori 'Malay Race' diusulkan oleh ahli sains Jerman Johann Friedrich Bluemenbach dan dibincangkan berkenaan asal usul orang Melayu itu sendiri.

Perlu diakui, makin ramai pihak menidakkan bahawa orang Melayu adalah peribumi di Borneo. Ini sebenarnya adalah pemikiran dangkal bagi menidakkan status Melayu sebagai peribumi di Borneo. Banyak "tangan ghaib" yang mahu menghapuskan sejarah Melayu di Borneo. Mereka malu untuk mengakui sejarah agung di Borneo. Mereka benci dengan apa-apa yang berkaitan dengan Melayu dan boleh lah diklasifikasikan sebagai "Melayufobia".

Baik, kita pergi kepada hujah.

Pakar linguistik telah menjadikan Borneo sebagai tempat asal bahasa Melayu. Bukan Semenanjung Tanah Melayu, bukan pulau Sumatera, bukan pulau Jawa, tapi pulau Borneo itu sendiri. Jadi timbul konflik di sini. Bagaimana orang Melayu bukan pribumi di Borneo itu sendiri, walaupun teori linguistik menyatakan sebaliknya?

Misteri sungguh ni.

Baik, memang tak sah kalau kita nak bincang pasal asal usul orang Melayu tanpa menyebut istilah Melayu Proto dan Melayu Deutro. Gelombang migrasi orang Melayu sekitar tahun 1500 ke 2000 SM sudah membuktikan kewujudan Melayu Proto di Borneo iaitu masyarakat Dayak.

Gelombang migrasi Melayu Deutro pula berlaku sekitar 500 SM. Mereka ini berasimilasi dengan Melayu Proto memberi kesan besar kepada ketamadunan di pulau Borneo itu sendiri. Tak pelik sebenarnya kalau Melayu Proto yang asalnya menetap di persisir pantai telah berpindah masuk ke pedalaman dan Melayu Deutro pula menetap di persisir pantai.

Tak lupa juga, wujudnya kerajaan kuno Melayu di pulau Borneo itu sendiri. Kewujudan kerajaan kuno Melayu ni adalah bukti kukuh bagi menjelaskan orang Melayu sememangnya berasal dari Borneo.

Kerajaan Kutai yang diasaskan oleh Melayu Proto pada tahun 200 Masihi lagi. Mereka telah menganuti agama Hindu dan menjadikan ia falsafah dalam pentadbiran kerajaan. Hanya pada abad ke-13 Masihi mereka mula menyerap agama Islam dalam sosial, ekonomi dan pentadbiran.


Sesiapapun tak boleh menidakkan kewujudan Kerajaan Banjarmasin, sebuah kerajaan diasaskan oleh Melayu Deutro. Hampir 1/3 wilayah Kalimantan menjadi jajahan takluknya dan mendapat asimilasi penuh oleh masyarakat Dayak. Ini adalah kerajaan yang ditubuhkan oleh orang Banjar.

Bagaimana pula dengan Kerajaan Melayu Brunei? Ia wujud pada abad ke-9 Masihi sezaman dengan empayar Srivijaya yang turut menakluk beberapa kawasan di Borneo barat. Malah, nama Borneo itu sendiri turut berasal dari nama Brunei itu sendiri.

Umum juga tahu bahawa bangsa Melayu memang berasal dari Pentas Sunda ni. Kawasan ini sebenarnya adalah sebuah dataran luas lalu bepecah menjadi pulau-pulau yang terpisah jauh. Memang tak memeranjatkan lah kalau bangsa Melayu sudah lama menetap di Borneo itu.

Bangsa Melayu sememangnya adalah bangsa pelayar. Sudah banyak bukti menunjukkan bangsa Melayu mampu berlayar jauh sehingga Afrika sana. Anda fikir, dekat ke? Bangsa ini juga lah yang berjaya membina kapal-kapal besar bernama jong untuk membawa muatan yang berat.

Lagipun, siapa sahaja tak kenal akan Kepulauan Melayu? Keluasannya merangkumi Luzon, Mindanao, New Guinea, Papua New Guinea, Jawa, Sumatera dan banyak lagi. Inilah dia Malay Archipelago yang dikaji oleh Alfred Russel Wallace. Celah mana mengatakan Borneo bukan sebahagian dari kepulauan Melayu?

Kalau nak berbicara perihal bangsa, usah lah dilibatkan sama dengan dendam politik. Seringkali kebencian terhadap bangsa Melayu ni dikaitkan dengan dendam kesumat politik yang tersimpan dalam hati mereka. Masih rasa "Melayufobia"? Sudah-sudah lah tu.

Wallahualam.

Sumber:

1. Haslina Bujang(2018), Melayu Itu Pendatang Di Borneo, https://www.thepatriots.asia/melayu-itu-pendatang-di-pulau-borneo/

2. Utusan Malaysia(2017), Bukti Kewujudan Bangsa Melayu,
http://www.utusan.com.my/pendidikan/sastera/bukti-kewujudan-bangsa-melayu-1.437829

3. Helmi Effendy (2018), Orang Melayu Juga Pribumi Di Borneo - Kritikan Ke Atas Vlogger AdamShamil, https://www.thepatriots.asia/orang-melayu-juga-pribumi-di-borneo-kritikan-ke-atas-vlogger-adamshammil/

4 USM, https://arkeologi.usm.my/index.php/en/berita/1-majoriti-melayu-asal-dari-pentas-sunda

5. Brittanicca, https://www.britannica.com/place/Malay-Archipelago

6. The Guardian, https://www.theguardian.com/science/2013/jan/11/malay-archipelago-alfred-russel-wallace-review

Al-Badru

Pelajar Sarjana Muda dari UiTM ini membangunkan sebuah platform untuk menyampaikan ilmu iaitu LamAlifBa. Seorang Melayu yang tidak segan akan asalnya. Realis pula pandang alamnya

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama