Rusuhan Pekerja Menentang UU Omnibus Di Indonesia


Kecoh betul media sosial berikutan rusuhan kumpulan pekerja di Indonesia. Rusuhan ni sebenarnya menentang Undang-Undang Omnibus yang baru saja diluluskan oleh Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) pada Isnin lepas (5 Okt). Malah, rusuhan menentang UU Omnibus ni dah bermula sejak awal tahun 2020 lagi. Jadi, apa semua ni sebenarnya?

Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) usulkan Undang-Undang Omnibus dengan tujuan menambahbaik kemudahan urusan perniagaan dan menarik pelaburan di Indonesia. Dengan jangkaan, ia bakal jadi pemangkin kepada penciptaan peluang pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi. 

Omnibus (bahasa Latin bermaksud semuanya) menggabungkan beberapa peraturan dengan peraturan yang berbeza di bawah satu satu payung undang-undang. Tiga RUU yang dibentangkan bawah Omnibus - RUU Cipta Kerja, RUU tentang Ketentuan dan Fasilitas Perpajakan untuk Penguatan Perekonomian, dan RUU tentang Pengembangan dan Penguatan Sektor Keuangan. 

*RUU Cipta [Lapangan] Kerja juga dirujuk sebagai 'RUU Cilaka'. Serupa dengan 'celaka'. Kreatif betul.



UU Omnibus setebal 1,028 muka surat ni akan meminda 73 undang-undang, ada 11 kluster, 15 bab dan 174 artikel. Kerajaan dan syarikat-syarikat dah anggap Indonesia ni 'over-regulated', sebab ada 43,511 peraturan sama ada di peringkat kementerian, agensi dan tempatan. 

Pertumbuhan ekonomi tahunan Indonesia pulak jatuh terendah dalam 3 tahun pada suku keempat 2019, iaitu 4.97 peratus. Pada pentadbiran Jokowi, RUU ni perlu untuk pulihkan ekonomi negara dan tarik pelaburan asing terutamanya China. 

Kalau begitu, kenapa pekerja merusuh? Bukan ke ini berita baik? 

Kesatuan pekerja ni merusuh kerana RUU ni mengurangkan hak pekerja, imbuhan serta keselamatan pekerjaan mereka. Misalnya, perniagaan kecil dan mikro dikecualikan daripada ketetapan gaji minimum, namun hanya perlu membayar pekerjanya atas kadar garis kemiskinan.

Bukan itu saja, Artikel 93 yang menetapkan hak pekerja untuk cuti bergaji dihapuskan daripada UU Omnibus ini. Bahkan, ia akan membatalkan Artikel 159 yang membenarkan pekerja memfailkan tuntutan mahkamah di mahkamah hubungan industri atau agensi, jika pekerja ingin mencabar alasan di sebalik pemberhentian mereka.



UU Omnibus ni juga beri bayangan semula dasar ekonomi neoliberal. Pentadbiran Jokowi cuba menghidupkan semula dasar neoliberal, dan kesatuan pekerja memang tak gemar lah jawabnya. 

Dalam mazhab ekonomi neoliberal; austerity fiskal, ‘deregulation’, perdagangan bebas, penswastaan dan pengurangan perbelanjaan kerajaan adalah tipikal buat pendukung dasar ekonomi neoliberal. Margaret Tratcher dan Donald Reagen adalah sosok utama yang selalu dikaitkan dengan neoliberal. Bahkan, Malaysia sendiri tidak selamat daripada terkena tempias dasar neoliberal ni.

Dasar neoliberal mula mendapat tempat di Indonesia selepas Soeharto menjawat presiden pada 1967. Mafia Berkeley, kumpulan ahli ekonomi Indonesia berpendidikan AS yang diberikan jawatan teknokrat di Orde Baharu menyediakan panduan (buku resepi) buat Soeharto untuk melaksanakan dasar neoliberal untuk menghadapi masalah serius ekonomi Indonesia ketika tu.

"Buku resepi" ini dibuka sekali lagi pada era pentadbiran Jokowi kerana pengaruh penyokong Mafia Berkeley masih belum lenyap seluruhnya. Sedang ramai melihat UU Omnibus condong pada syarikat-syarikat, memang lah ada 'backlash'. Dasar neoliberal diibaratkan sudah ‘dihidupkan semula’ di Indonesia.

Indonesia, yang dijangka menjadi antara kuasa ekonomi Asia menjelang 2030, sekarang berdepan dengan "kuasa proletariat" ni. Sama ada pentadbiran Jokowi berjaya mengawal rusuhan dan sentimen rakyat atau tidak, ia bergantung kepada kebijaksanaan pemerintah sana. Apa yang pasti, rusuhan “kuasa proletariat” ni tidak ada ‘pause’ lagi (setakat ini).

Sumber:

1.  Esther Sambhoh (2020), Guide to omnibus bill on job creation: 1,028 pages in 10 minutes, diambil pada 9 Oktober 2020, https://www.thejakartapost.com/news/2020/02/21/guide-to-omnibus-bill-on-job-creation-1028-pages-in-8-minutes.html

2.  Mariyah L.M, JN (2020), Jakarta is returning: The ‘neoliberal cookbook’ that guides Indonesia’s Omnibus Bills, diambil pada 9 Oktober 2020, https://lausan.hk/2020/jakarta-is-returning-omnibus-bills/

3.  Adrian Wail Akhlas (2020), Labor unions protest Jokowi's omnibus bill, diambil pada 9 Oktober 2020, https://www.thejakartapost.com/news/2020/01/09/labor-unions-protest-jokowis-omnibus-bill.html

Al-Badru

Pelajar Sarjana Muda dari UiTM ini membangunkan sebuah platform untuk menyampaikan ilmu iaitu LamAlifBa. Seorang Melayu yang tidak segan akan asalnya. Realis pula pandang alamnya

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama